22.6.08

Coretan pejalanan ke Lubok Jong, Kelantan.

Dua minggu lepas seorang rakan, Mat Sg. Buluh, mengajak saya untuk bertanding suara burung merbuk atau lebih dikenali ketitir bagi masyarakat Kelantan di Lubok Jong, Kelantan. Mat memiliki burung-burung yang baik untuk pertandingan dan beberapa kali bergelar johan. Kebetulan saya ada seekor burung betina yang cantik suaranya dan ada ketegori D (remaja/ burung yang tak banyak berbunyi) dipertandingkan. Jadi saya bersetuju dengan pelawaan Mat, memandangkan burung betina saya kurang berbunyi.

Mat menjemput saya di rumah jam 3 petang, kami ke rumah Abg Mustapa yang memelihara burung C Champion Mat. Abg Mustapa agak pakar dalam melatih dan memperbaiki suara burung, beliau salah seorang pakar dalam mengikat burung yang suara buang atau kuak. Juga ada cara tersendiri untuk mencuci saluran penafasan burung menggunakan sejenis rumput. Akan saya ceritakan dengan lebih lanjut dalam tajuk petua nanti.

Kami bertolak jam 5 petang dari Kuala Lumpur. Sepanjang pejalanan kami bercerita isu-isu semasa, hal keluarga, perniagaan hampir tiada cerita burung lagi. Kami berdua banyak menghabiskan masa bersama keluar daerah untuk bertanding. Jadi cerita-cerita burung telah banyak kami bincangkan dahulu.

Mat masih serius dalam seni suara burung merbuk ini, berbanding saya yang sudah agak kurang tetapi masih mengikutinya. Kali ini beliau bertanding dalam kategori C, dan kami bawa bersama burung seorang sahabat (Nizam) yang ditumpangkan. Dengan kereta Wira Mat yang baru 2 hari ditukar gearboxnya kami meredah pejalanan ke Kelantan. Boleh dikatakan pejalanan ini bagi menguji gearbox kereta yang baru ditukar Mat. Makaniknya berpesan jika ada apa-apa berlaku didalam pejalanan ke Kelantan supaya menalifonnya. Mat sudah memaklumkan kepada makanik itu tujuannya menukar gearbox adalah untuk ke Kelantan. Bayangkan jika kereta itu menghadapi masalah di bahagian hutan di Gua Musang? Apalah yang boleh diusahakan makanik itu?

Sampai di pekan Raub, Mat teringatkan tuala dan pekakasan lain yang tak dibawanya, lalu kami singgah di pekan Raub. Selesai membeli-belah, bersama sedikit jajan, kami menyambung perjalanan. Jam 10 malam perut terasa lapar dan seni suara keroncong talah berbunyi. Cari-cari kedai yang agak 5 star tak jumpa-jumpa sepanjang pejalanan, hanya terdapat kedai-kedai tomyam yang agak suram. Sudah agak lama mencari dan beberapa kali berhenti untuk meninjau kedai di tepi jalan dan menyakitkan hati kereta di belakang, kami berhenti sahaja di kedai yang ada hanya 1 mejanya berpelanggan. Yang kami cari kedai yang penuh dengan pelanggan.

Selesai makan dan solat, kami menyambung perjalanan. Tak sampai 10 minit terdapat banyak kedai makan yang grand, dengan lampu nieon ala-ala Las Vages dan berpelanggan hampir 50% full. Aaduuhh... Pengajaran buat kami, lain kali INGAT di mana lokasi tempat makan dan timing bertolak biar sesuai. Jam 8-10 mlm time makan, kami berada di kawasan yang tidak mempunyai kedai yang best.

Masuk daerah Kota Bahru lebih kurang jam 11 malam, mencari-cari signbord Pasir Mas untuk ke Lubuk Jong. Semasa itu Mat bersuara hendak tidur di hotel, ikut hati saya terus ke padang sahaja, lelapkan mata sekejap dan jam 6 boleh tarik burung. Bolehlah dapat tiang tengah. Untuk tidak menghampakan sahabat saya mencari hotel, saya terus menuju ke Rantau Panjang. Sekatan polis saya redah je, sebab polis tak ada disitu, hanya tiang-tiang dan tayar-tayar polis beserta signbord "AWAS PEMERIKSAAN POLIS" yang ditinggalkan di pos kawalan sempadan. Lebih kurang jam 12.30 tengah malam kami sampai di 7Eleven Rantau Panjang, ternampak Ani motel diatas 7E tersebut. Terus saya check in, harganya agak murah dari RM35-Rm55. Cari Hotel dapat motel, Ok la, buat lelapkan mata 4-5 jam dan mandi pagi. Burung juga tidur dalam motel.

Jam 6 pagi hari pertandingan kami bersiap untuk ke padang. Selesai mandi, Mat buka pintu bilik air secara mendadak dan kuat bunyinya, dengan lampu yang cerah dari bilik air burung Mat terkejut dan mengelupur teruk. Mat dah risau, Jagohan dah terkejut. Sepanjang pejalanan semalam kami pandu kereta macam orang baru dapat "L" kerana takutkan burung tak selesa dan terkejut, tup-tup hari ini burung terkejut juga.

Tak nak breakfeast dulu kerana takut tak dapat tiang yang cantik, kami terus ke padang. Alhamdulillah, kami sampai awal, hanya ada 20-30 buah kereta sahaja yang tiba dulu. Dan kategori D yang saya nak masuk pun baru ada beberapa belas sankar sahaja. Padang yang mempunyai 1000 tiang ini juga digunakan semasa pertandingan piala Sultan Kelantan. Semasa pertandingan piala Sultan Kelantan banyak kategori dan lain-lain pertandingan diadakan termasuk burung tekukur, jambul, tiong mas, murai batu, ayam serama, pokok bonsai dan lain-lain. Yang menarik sekali untuk hadiah cabutan bertuah pada tahun ini sebuah Proton Saga baru adalah hadiah utama dan ratusan hadian-hadiah lain.

Hari ini hadiah cabutan bertuannya sebuah motosikal "scooter" yang beharga lebih RM3000 dan lain-lain hadiah yang menarik. Pemenang 1-5 mendapat piala dan sijil dan 5 seterusnya hadiah barangan keperluan rumah seperti kipas, rice cooker, basikal dll. Tidak seperti di bahagian selatan hadiahnya dari no 1-30 adalah piala dan hanya cabutan bertuah sahaja berangan keperluan rumah.

Kami mendaftar untuk bertanding. Semasa mendaftar kami perlu meletakkan nama burung selain nama peserta. Fikir punya fikir, saya namakan burung saya " Permaisuri". Selepas gantung burung di tiang yang tidak mempunyai cankok (agak kekok saya dibuatnya) kami tinggalkan burung dan keluar untuk bersarapan. Tips dari Nizam, kami bersarapan gulai ayam kampung di Restoran Ayam Kampung yang pertama kali saya nikmati, memang menyelerakan. Nasi yang panas, dengan kopi O, memang menyegarkan mata saya yang layu kerana memandu sepanjang malam. Disudahi dengan kuih muih kelantan yang manis-manis sebagai pencuci mulut, memang puas trip kali ini.

Selesai sarapan kami ke Rantau Panjang untuk shooping sedikit barangan keluarga. Dari Lubok Jong ke Rantau panjang hanya 10 minit pejalanan. Kami beli "TOTO" (sebutan orang KL) harga RM32 setiap satu dan beberapa helai baju anak dan isteri. Kebetulan isteri Mat sedang sarat mengandung, dan beliau hadiahkan 2 helai baju mengandung kepada isterinya.

Setiba di padang pertandingan sudah selesai. Disini pertandingan dijalankan hanya 1 setengah jam dari 9.30-11 pagi. Tunggu-tunggu keputusan, burung kami tak lekat, tak menang apa pun. Penat bercampur sedih. Burung Mat yang tadi terkejut memang sah dah terkedu, di Shah Alam baru Johan minggu sebelumya. Dari pemerhatian Nizam pun burung Mat langsung tak berbunyi. Saya pergi periksa kertas pengadil, tiang no "10" saya langsung tak di tulis walau dari satu pengadil pun, kes burung tak bunyi la ni. Nama dah cantik, Permaisuri tapi tak bunyi. Biasalah, saya dah lali dengan pertandingan, pernah beberapa tahun dahulu semasa pertandingan di Muar, Johor, sehari sebelum pertandingan burung saya rajin sangat, menekan, power sehingga dalam kereta semasa ke padang pun dia berbunyi, tetapi bila masa pertandingan dia senyap, tak bunyi. Balik, masuk kereta dia bunyi lagi, itulan burung lama saya "Sultan', dah terlepas depan rumah.

Selesai pertandingan kami terus berangkat pulang ke Kuala Lumpur dengan perasaan yang ... malas nak cerita.

sekian.

Tiada ulasan: